Aku & Suami Dijangkiti Covid-19

Saturday, September 11, 2021

Gambar Hiasan

"Ya Allah beratnya dugaan engkau berikan buat kami suami isteri. Sesuatu yang begitu aku takut tetapi inilah ujian-mu buat kami berdua". Bagaimana saya menjaga SOP dan begitu mengambil berat tentang Covid-19 tetapi apabila Allah memilih saya dan suami untuk menerima ujian ini, siapa kami untuk mempertikaikannya.


Bermulanya 14 Ogos 2021, en. suami yang jarang demam secara tiba-tiba dilanda demam panas. Hati saya dah mula bimbang. Demam en. suami berlarutan sehingga 2 hari. Bila masuk tengahari dan tengah malam suhu badan suami menjadi tinggi. Bila disuruh ke klinik en. suami sekadar menenangkan saya " Ya, b ok demam biasa ni kena hujan". Ye...memang betul di kawasan kami dan tempat en. suami membuat penghantaran barang hampir setiap hari hujan je. Saya juga cuba menyedapkan hati tetapi perasaan bimbang seorang isteri tetap ada.


Adik en. suami yang tahu keadaan abangnya yang tidak sihat mendesak saya memujuk en. suami pergi ke klinik. Maybe atas desakan saya dan adiknya yang risau akhirnya en. suami mengalah dan keesokannya en. suami pergi ke hospital juga. Malah saya meminta en. suami untuk membuat swab test sekali di hospital.


Memang swab test di klinik swasta resultnya lebih cepat tetapi dengan kondisi en. suami yang ada asthma saya lebih prefer en. suami buat swab test di hospital. Jadi, memandangkan resultnya memakan 2 ke 3 hari en. suami telah dipakaikan gelang pink oleh pihak hospital dan telah dikuarantin di rumah sehingga result keluar.


Perasaan takut dan bimbang sudah bercampur baur. Tiada yang mampu saya lakukan hanya memanjatkan doa kepada Allah SWT dengan harapan result swab test en. suami adalah negatif. Tidur sekadar melelapkan mata tetapi otak, hati masih memikir dan risau menantikan result en. suami dari pihak hospital.


Dan, since en. suami kuarantin di rumah saya dan en. suami mengambil keputusan untuk mengasingkan diri sebagai langkah awal berjaga-berjaga. Lebih kurang hampir 12 tengah malam hari isnin 16 Ogos 2021 ketika saya masih duduk di tikar sembahyang mengaji di ruang tamu en. suami datang mendekati saya. Hati semakin berdebar dan en. suami dengan nada tenang memberitahu result swab testnya adalah positive.


Allahhuakbar, suatu yang amat saya takut berlaku juga. Saya hanya mampu menangis, bimbang dan takut saat itu. Takut kerana bimbang dengan kesihatan en. suami yang mempunyai penyakit asthma. Walaupun en. suami masih bersikap positif menenangkan saya tetapi di dalam hatinya hanya Allah jua yang mengetahui.


Malam tu saya langsung tidak boleh tidur. Perasaan takut, bimbang semua ada. Sekejap-sekejap saya tanya keadaan suami kerana saya tahu en. suami juga tidak boleh tidur. Sudahlah keesokannya saya ada appointment untuk first vaksin. En. suami pula risau tiada siapa yang last minute boleh bawa saya untuk mengambil vaksin. 


Biarpun diuji en. suami masih memikirkan tanggungjawabnya. Pegawai kkm memberi kebenaran en. suami untuk membawa saya mengambil vaksin esoknya memandangkan saya tidak mempunyai apa-apa gejala waktu itu. KKM hanya menasihatkan en. suami supaya membawa dan tunggu saya di dalam kereta sahaja.


Alhamdulillah biarpun diuji Allah SWT masih bantu permudahkan urusan kami hari itu. Dan, alhamdulillah demam en. suami juga semakin surut dan en. suami tidak mengalami sebarang serangan asthma, sesak nafas dan lain-lain gejala. Keadaan suami semakin baik kecuali saya yang demam selama dua hari selepas mengambil vaksin. 


Pada 18 Ogos 2021 en. suami telah diminta ke pusat CAC ( Covid-19 Assessment Center) untuk berjumpa dengan doktor bagi menentukan keadaanya sama ada akan meneruskan kuarantin di rumah atau terpaksa ke pusat kuarantin yang telah di tetapkan oleh KKM. Nasib masih memihak en. suami apabila dibenarkan untuk kuarantin di rumah sahaja. Yang penting kami berdua perlu menjaga syarat-syarat kuarantin di rumah memandangkan saya masih belum di swab test.


Pada hari yang sama juga KKM telah call en. suami sekali lagi untuk membawa saya membuat swab test pada next day. Saya masih mengharapkan yang keputusan saya negatif supaya saya sihat dan boleh menjaga suami dan anak-anak bulu saya. Tetapi nampaknya keputusan swab test saya juga positif. Saya juga telah dibenar untuk kuarantin di rumah sahaja bersama-sama suami memandangkan simptom saya juga tidak serius.


Memang sedih, takut dan bermacam-macam perasaan waktu itu tetapi saya perlu sihat, kuat dan bangkit melawan virus ini untuk suami, diri saya dan pastikan anak-anak bulu saya tidak dijangkiti. Anak bulu??? Ya memang ianya hanya kucing tetapi mereka juga makhluk Allah SWT yang perlu saya jaga bukan bertindak kejam dan bersikap selfish. Hanya mereka pencinta binatang dan punya perikemanusiaan sahaja yang paham. 


Dalam tempoh kuarantin saya dan suami hanya fokus untuk melawan virus ini sahaja. Saya juga mengasingkan terus dari dunia media sosial dan dunia luar. Saya hanya menghabiskan kuarantin dengan lebih mendekatkan diri pada Allah SWT. Mengadu padanya mengharap diberi kesembuhan, kesihatan dan kekuatan untuk sembuh. 


Walaupun kami mula hilang selera, hilang deria bau dan rasa serta saya batuk waktu itu. Alhamdulillah, dengan sikap positif en. suami kami secara perlahan-lahan dapat melawan virus ini dengan menjaga permakanan, makan vitamin dan beberapa tips bagi menguatkan antibodi badan yang diberi dari rakan-rakan terdekat dan family.


Allah SWT dan family sememangnya sumber kekuatan kami untuk pulih. Family banyak membantu dan memberikan dorongan sepanjang kami dikuarantin. Tempoh kuarantin dirasakan amat panjang seolah menghitung tahun. Setiap hari sememangnya penuh dengan kebimbangan dan debaran. 


Dan akhirnya, alhamdulillah setelah melalui tempoh kuarantin yang dirasakan amat panjang kami recovery juga. Suami saya telah tamat kuarantin pada 29 Ogos 2021 manakala saya pula pada 1 September 2021."Terima kasih Allah, terima kasih kerana masih memberi kami peluang untuk pulih serta memperbaiki diri . Terima kasih atas ujian ini dan terima kasih juga di atas kesembuhan yang engkau beri". 


Perkara yang terjadi sememangnya memberi keinsafan saya dan suami untuk lebih menghargai diri, insan-insan tersayang, lebih istiqamah serta memanfaatkan setiap detik yang ada untuk kita lebih mendekati dan mendahulukan Allah SWT dalam segala hal. Saya juga berharap semoga dengan pengalaman kami ini dapat dijadikan sumber kekuatan kerana di dalam apa jua ujian yang diberi itu pasti ada jalan. 


" Ya Allah engkau lenyapkanlah wabak covid-19 ini dari muka bumi ini agar kami tidak terus berada di dalam ketakutan. Peliharalah setiap ahli keluarga kami, sahabat-sahabat kami dan seluruh umat dari terus dijangkiti wabak merbahaya ini serta engkau berilah kesembuhan buat mereka yang sudah dijangkiti supaya dapat kembali pulih dan pulang ke pangkuan keluarga mereka...Aminnn".


Comments